Geng tekan-tekan :-]

Thursday, June 6, 2013

Sayang daku untuk mu, isteri ku...




Aiman, berusia 26 tahun, seorang yang periang, suka berjenaka, tegas tetapi dalam penuh hemah. Merupakan salah seorang dari pejuang yang menegakkan keamanan negara, yang bangga dengan tugasan hariannya. Walau dipanah terik mentari, beliau tegar menjalankan tugasnya, sebagai seorang pesawah di desa.


Berpegang kata-kata dari ayahnya, "ingat Aiman, tanpa kita rakyat negara sengsara, rakyat akan lapar, dan mereka akan memberontak, lantas melakukan jenayah dan negara huru-hara! Bekerja keraslah agar keamanan negara kita terbela...". Kata-kata ini telah menjadi inspirasi kepada Aiman sejak bertahun lamanya, sehinggalah beliau bergelar, bapa...

Dijodohkan oleh keluarga, seorang isteri yang molek, cantik, bak puteri yang tersesat di tengah bendang, puteri yang leka ditemani dayang, begitulah imaginasi Aiman buat isterinya itu. Walhal isterinya hanyalah gadis biasa, yang leka dengan harta dunia, yang tak berpuas hati dengan keadaan hidupnya, walaupun telah diberikan segalanya..

Aiman seorang yang penyabar, walaupun kulit dah hampir rentung dibakar mentari setiap hari, beliau tetap tabah mencari rezeki. Diberikan kepada isteri sebagai nafkah sekadar termampu. Namun si isteri semakin jemu. Rumah yang besar dirasa kecil, lauk yang enak terasa muak, bayu petang dikatakan bahang, hujan merintik dikutuk, diherdik...

Aiman penyayang, di usahakan segala. Simpanan diguna, buat isteri tercinta. Kipas dibelikan, wang berikan, rumah diperhiaskan, namun semua bagai tiada makna. Setahun berlalu, dan Allah mengurnia. Penambah seri, penambat duka. Cahaya mata terlahir ke dunia. Seorang putera, Abdullah namanya...

Berita dirai, berkampung semua. Berkongsi tangisan dalam ketawa. Bersyukurlah Aiman akan rezekinya, Allah pemurah, pentadbir semesta. Aiman berhajat, membawa bahagia, tetapi, tidak bagi isterinya. Si isteri merasa, semakin tersiksa, tidak merasa hidup yang bahagia. Hingga tiba di suatu masa, musibah menjengah buat isteri derhaka...

Penyakit di hadapi, busuk baunya. Anak sendiri pun takutkan dia. Tidak ada haiwan lagi yang naik ke rumah, tidak pun cicak apatah lagi katak. Burung-burung nak dekat pun tidak boleh, busuk sangat, kalau dekat, menyengat! Saudara-mara semua menyisihkan dia, hanya si suami, Aiman yang setia. 

Berusahalah Aiman ke serata punca. Mencari penawar, penyembuh segala. Tak tahu nak google, internet tak ada, tanyalah kawan, tanyalah saudara. Tapi malang tidak ada ubatnya... Sehinggalah tiba, di suatu hari, isteri yang sakit, tidak terperi, terjerit lah dia meminta simpati, menangislah suami...menadah jari....

"Ya Allah, aku pinta padamu, hancur hati ini melihat isteriku. Sakit ditanggung, terlalu lama, berilah petunjuk untuk ku cari penawarnya. Aku bernazar, akan berpuasa 30 hari, jika isteriku ini Kau sembuhkan.."
Dan terdiamlah...si isteri...tertidurlah dia, dengan nyenyaknya...

Selepas seminggu, isteri pun semakin sembuh. Bepuasalah si suami membayar nazarnya. Hingga tiba hari ke 28, si isteri sembuh sepenuhnya, dengan kuasa tuhan. Si Aiman yang gembira, berbuka puasa, ditemani isteri yang kini setia, tiada lagi,keluhan berduka, yang terhias kini, senyum dan ketawa...

Hari terakhir nazar si Aiman. Ke bendanglah beliau seperti biasa. Melihat padi yang hampir untuk dituai. Sambil termenung, melihat ke langit, yang biru dan indah, dengan udara yang nyaman, burung berterbangan, tiba-tiba terganggu dengan satu patukan. Patukan ular di kaki kirinya. Terkejutlah Aiman, bingkas bangunnya. Melangkah pulang, mencari anak dan isterinya. Namun, dengan setiap langkah, semakin gelap pandangan matanya...terlalu laju degup jantungnya...hinggalah...

Si isteri di rumah setia menanti, kepulangan suami ingin dirai. Tersedia keli di dalam kuali, hidangan kegemaran si suami. Namun pernantian tidak berhenti, mentari menyusup, menghilangkan diri. Semakin tidak tenang, hati si isteri, bertanya keluarga, saudara, jiran tetangga. Tidaklah seorang pun terlihat kelibat suami, nekad mencari, keluarlah si isteri. Ke warung, tiada, ke pekan tiada. Di mana-mana juga tiada. Hinggalah terdetik untuk mencari di pondok di bendang.

Bergegas kesana bersama mertua. Si ayah mengetuai, menghulur pelita. Terlihat kelibat, anak kesayangannya, terbujur kaku, menyembah bumi...berderai tangis si isteri...

Selamatlah sudah, Aiman dikebumi, pulang si isteri, menangis di dalam hati. Putera yang ada, pengganti bapanya. Bersumpah sayang, kebajikannya takkan tersia. Berkemaslah isteri di dalam kamar. Sambil menangis, mengusap baju yang lama, yang pernah Aiman gunakan. Baju putih kesayangan Aiman. Pemberian pertama, hadiah perkahwinan. Dan di dalam lipatan itu, ada perutusan...

"Wahai isteri kesayanganku, abang tahu perkahwinan ini bukan kehendak kamu. Tapi abang berjanji, abang akan berusaha untuk membahagiakan kamu. Andai sampai satu masa, kamu masih tidak bahagia, abang minta maaf. Abang dah cuba sedaya upaya. Abang berjanji, bermula dari hari ini, abang nak lihat kamu betul-betul gembira sebelum abang menutup mata...buat isteri tercinta...kalau satu hari nanti kamu terjumpa surat ini, jangan ketawa,  abang pun ketawa masa nak menulisnya. Sebab abang tahu ayat abang ni tak sehebat mana. Moga kita boleh baca surat ni bersama-sama. Moga kamu sihat dan bahagia selalu.

dari Suami mu,
Aiman"